25.3.13

Two Guys One Room

Oleh / By: Fatini Zulkarnain

Di bilik 303 itu Loqman keseorangan. Hanya kertas dan pensel warna menjadi peneman. Segala contengan dibiarkan sahaja berselerakan di lantai. Tangannya masih terus leka melukis tanpa menyedari dua orang lelaki berbaju putih masuk sambil mengangkat katil besi warna putih.

“Selamat pagi Loqman. Start hari ni Loqman ada kawan. Suka tak?” ceria salah seorang lelaki berbaju putih menyapa. Loqman hanya diam. Tangannya terus leka melukis.

Setelah katil besi itu diletakkan, lelaki baju putih itu keluar dan masuk balik sambil memegang mengiringi seorang lelaki yang berpakaian macam Loqman.

“Loqman, ini Razak. Mulai hari ni dia sebilik dengan Loqman. Jaga dia baik-baik tau,” kata lelaki baju putih yang menyapanya tadi. Loqman masih meneruskan lukisannya. Lelaki yang bernama Razak itu hanya duduk atas katil setelah mereka ditinggalkan berdua.

“Wey, nama kau Loqman kan? Kau buat apa tu?” Tanya Razak. Loqman diam.


“Wey, cakaplah dengan aku. Aku bosan giler ni,” kata Razak.

“Buat apa aku nak cakap dengan kau? Aku bukan kenal kau pun,” kata Loqman tanpa mengalihkan pandangannya dari kertas lukisan. Razak mendekati Loqman yang tekun melukis di lantai bersebelahan katilnya.

“Apa yang kau lukis? Aku tak faham langsung,” kata Razak. Satu demi satu lukisan bertaburan di lantai diperhati satu persatu. Razak seperti melihat sesuatu dalam lukisan-lukisan itu.

“Loqman, kau yang buat semua lukisan ni?” Tanya Razak.

“Ada orang lain lagi ke selain kau dengan aku kat sini?”

“Kalau macam tu tak jadilah aku nak cakap kau genius,” kata Razak sebelum mengumpulkan kesemua lukisan Loqman.

“Kau nak buat apa dengan lukisan aku tu?”

“Buktikan kau genius. Tunggu kejap,” Razak menyusun lukisan Loqman di lantai. Susn atur lukisan-lukisan itu Razak tukar beberapa kali hingga menampakkan gambar sebuah banglo putih beratap biru yang dikelilingi taman bunga ros dari susunan lukisan terbabit.

“Ya, Loqman. Kau sangat genius. Ni rumah siapa?” tanya Razak.

“Rumah aku sebelum aku datang sini.”

“Kenapa kau boleh ada kat sini?”

“Aku tolak abang aku dari balkoni. Dia salahkan aku sebab aku tak dapat bezakan nombor 6 dengan nombor 9. Syarikat dia rugi berjuta-juta sebab aku. Macam mana dia rugi itu aku tak tahu. Kau pulak, kenapa boleh ada kat sini?”

“Entah, aku pun tak tahu,” Razak menyengih. “Yang aku tahu, ni nama aku,” Razak mengambil salah satu kertas lukisan dan menulis namanya.

“R. A. Z. A. K. Razak,” Razak menunjukkan tulisannya kepada Loqman. Loqman mengambil kertas lukisan itu dan menulis kembali nama Razak lalu ditunjukkan pada Razak.

“Kau sekolah sampai darjah berapa? Nama aku pun kau tak pandai nak eja,” kata Razak.

“Aku memang tak boleh tulis nama kau. Tapi aku boleh buat ni,” Loqman menunjukkan lukisannya yang baru siap. Lukisan wajah Razak yang memakai pakaian diraja di atas takhta. Muka Razak dilukis secara terperinci.

“Wow... Aku tabik dengan kau. Aku pun tak boleh buat apa yang kau buat,” kata Razak. 

“Tapi kau boleh menulis, tengok aku. Mak ayah aku sumbat aku kat sini sebab dorang malu ada anak bodoh macam aku,” Loqman menangis.

“Apa ni... Buruklah lelaki menangis. Tengok aku. Macho, steady je,” Razak membanggakan diri. “Macam nilah. Aku akan ajar kau ABC, memandangkan kita dah satu bilik. Sekarang kau kena jadi tour guide aku. Boleh?”

“Boleh,” Loqman dan Razak keluar dari bilik 303.
.......................................................................................................................................................
“Razak, bangun. Sarapan. Kalau kau tak bangun, dorang simbah kau dengan asid. Razak, bangunlah,” Loqman mengejutkan Razak. Razak buka mata lantas menolak Loqman.

“Kau siapa?!” Suara Razak meninggi. Razak menggenggam penumbuk, bersedia untuk mempertahankan diri. “Aku kat mana?! Kenapa kau bawak aku datang sini?!”

“Aku Loqman. Kau dalam bilik kita. Bukan aku yang bawak kau datang sini. Aku pun tak tahu kenapa kau boleh ada kat sini. Tapi kau okay je borak dengan aku semalam. Kau ingat siapa kau kan?” Loqman sendiri pun tak pasti apa yang dia telah katakan.

“Aku Razak. R. A. Z. A. K. Razak!” Jerit Razak.

“Memandangkan nama kau Razak, kau kena tolong aku,” kata Loqman.

“Tolong? Tolong apa?”

“Tolong ajar aku ABC sampai terer,” kata Loqman yakin.

Dari situlah persahabatan antara Loqman dan Razak terjalin di bilik 303, Hospital Bahagia, Tampoi.

GIANT SHAH ALAM
28-11-2012
*Inspirasi dari lagu ‘Imtro’ nyanyian Imran Ajmain

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...