18.3.13

Bahana Perempuan Bertudung Ungu

Oleh / By: Fatini Zulkarnain


Bismillahirrahmanirrahim,

Wahai kekasih hatiku, aku bersyukur kerana mengenali kekasih hatiku. Saat mataku terpejam, hanya sinar kasih dari kekasih hatiku bercahaya dalam gelita. Sebelum ini, aku tak kenal apa itu cinta sejati. Hidupku hanya mencari dalam keseronokan bersama teman-teman dunia. Hanyut dalam masa yang terasa lambat bergerak.


“Lambat pulak mamat tu malam ni,” Herman mengomel. Menunggu di hadapan KLCC bukan gayanya. Darnish di sebelah memandang jam tangan.

“Sabar jelah. Parents dia bukan macam parents kita,” kata Darnish. Tiba-tiba sebuah kereta Peugeot 903 RC hitam berhenti betul-betul di hadapan mereka.

“Wei! Lama tunggu?” Terpacul wajah Khairi dari tingkap kereta hitam tersebut. Darnish membelek wajah Herman. “Bagus, janggut tak tumbuh lagi. Kau selamat Khairi,” kata Darnish. Herman hanya geleng sambil gelak.

“Jomlah gerak. Darnish, kau nak naik kereta aku ke kereta Herman?” Tanya Khairi.

“Mestilah kereta kau. Kang mengamuk pulak bakal-bakal girlfriend si Herman ni kalau aku balik dengan dorang malam ni,” kata-kata Darnish disusuli dengan gelak tawa Khairi dan Darnish. Herman hanya tunjuk penumbuk pada Darnish sebelum bergerak ke kereta Hyundai i 10 Kappa 1.25cc warna birunya.

“Ke mana kita malam ni?” Tanya Darnish.
 
“Ke syurga dunia. ZOUK!!!” Khairi dan Darnish girang dengan keseronokan dalam minda.

Wahai kekasihku,
 

Hidupku tanpa tuju. Terlalu banyak jalan untuk aku pilih. Keluargaku prihatin, tapi aku yang degil. Lebih rela mengejar keajaiban dunia tanpa memikirkan sebab dan akibat.

Entah berapa banyak air mata ibuku tumpah untuk anak derhaka ini. Ya, langkahku songsang. Namun seandainya langkahku tidak songsang, pasti aku tidak akan bertemu dengan kekasihku.


Pandangan Khairi berkabus. Kepalanya berdenyut. Langkahnya cuba diselaraskan namun tak berjaya. Lurus bagi dia, ke kiri ke kanan bagi pejalan kaki yang melihat. Dalam samar malam dia lihat bangku panjang. Seorang perempuan bertudung ungu duduk di situ. Tempat awam, sesiapa pun boleh duduk. Khairi duduk melepaskan lelah di sebelah perempuan itu.
“Encik, boleh duduk jauh sikit tak? Saya tak selesa dengan bau encik,” perempuan itu menegur. Khairi senyum kambing.

“Bangku ni sempitlah. Kalau saya gerak nanti jatuh,” tenggelam timbul suara Khairi. Matanya masih berpinar, kepalanya seperti hilang imbangan. Namun telinganya masih menangkap bait-bait kata perempuan bertudung ungu.

“Encik ok? Kalau encik rasa pening, baik encik baring je kat sini. Bangku rasanya lagi panjang dari encik. Maklumlah bangku bus stop,” Khairi tak pasti sama ada perempuan bertudung ungu itu prihatin atau sarkastik padanya.

“Kalau saya tak nak baring?” Khairi mendekatkan wajahnya pada hidung perempuan bertudung ungu. Perempuan bertudung ungu itu menjauhkan kepalanya dari wajah Khairi.

“Terpulang, saya bagi cadangan je,” perempuan bertudung ungu keluh-kesah. Jam di tangan ditilik berulang kali.

“Tunggu boyfriend ke sugardaddy?” Khairi tahu itu soalan yang salah tapi nak buat macam mana, dah terkeluar. Terima jelah akibatnya.

“Apa?” perempuan bertudung ungu seakan tak percaya dengan soalan Khairi.

“Yelah, sekarang dah pagi, tinggal empat lima jam lagi nak subuh. Bas dah tak beroperasi sekarang. Kalau tak tunggu boyfriend, mesti tunggu sugardaddy, kan?” Khairi ketawa bawah sedar. Dengan mata yang kabur Khairi dapat lihat perempuna itu sedang menahan diri sendiri dari marah.

“Saya tunggu orang yang saya sayang,” perempuan bertudung ungu itu masih tenang.
“Yelah, tapi boyfriend ke sugardaddy?”

“Ayah saya, abang saya, adik saya, kakak saya, mak saya dan atok saya. Semua tu orang yang saya sayang dan pandai bawak kereta,” perempuan bertudung ungu itu senyum kemenangan. Jawapan itu membuatkan Khairi menghentikan perbualannya.

“Encik pun tau sekarang dah nak pagi, kenapa ada kat sini?” ringan mulut pulak perempuan ni.

“Kereta... tak boleh drive... member... tunggu... sini...” susunan ayat Khairi dah tunggang-langgang gara-gara Carlsberg. Khairi terus baring di atas bangku panjang bus stop tersebut.

“Bismillahirrahmanirrahim...” Khairi terdengar suara perempuan bertudung ungu lagi.

“Wei! Aku belum mati lagilah. Kau tak payahlah nak baca Yassin kat sini.”

“Encik jangan salah sangka. Saya bukan nak baca Yassin. Saya nak baca doa supaya tak ada syaitan akan ganggu encik sepanjang encik baring. Untuk kesejahteraan encik jugak.”

Khairi tahu perempuan bertudung ungu ikhlas. Terharu muncul seketika dalam hatinya. Namun khayal alkohol menutup rasa itu. Matanya dipejam bersama alunan suara perempuan bertudung ungu.

Bila Khairi buka mata, malam bukan lagi bumbung, bangku bukan lagi tempat dia berbaring. Dia berada di dalam biliknya sendiri, dengan katil queen size yang cadarnya remuk dikerjakan Khairi.

“Aku mimpi rupanya,” kecewa bersarang dalam hati. Alunan gadis bertudung ungu itu seperti masih masih melekat dalam hatinya. Khairi bergegas keluar bilik. Bilik bacaan di tingkat bawah tempat dituju. Baru sahaja Khairi menutup pintu bilik tidurnya, Puan Baiduri, ibu Khairi menyapa.

“Khairi ke mana semalam? Mujur papa balik lepas Khairi sampai. Kalau tak mesti papa marah,” lembut tuturan Puan Baiduri.

“Macam mana Khairi boleh ada atas katil?”

“Kamu mabuk lagi rupanya. Bukan ke Khairi yang cakap nak naik atas, tidur, Khairi penat?”

“Khairi tak ingatlah mama.”

“Dah. Pergi mandi. Mama dah siapkan sarapan. Dah bau apa dah kamu ni.”

Khairi senyum pada Puan Baiduri sampai Puan Baiduri masuk bilik. Dia terus menuruni tangga menuju ke bilik bacaan. Dari satu rak ke satu rak dia menjengah tapi buku doa-doa harian tak kelihatan. Yang ditemui hanya Al-Quran beserta terjemahan. Worth to take the shot. Halaman Al-Quran beserta terjemahan diselak ke Surah Al-Fatihah. Khairi pasti itu salah satu alunan perempuan bertudung ungu.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam (2) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (3) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat) (4) Engkau sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami meminta pertolongan (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus (6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat (7)

Lompong di hati Khairi terasa sedikit berisi membacakan terjemahan itu. Dibeleknya lagi Al-Quran beserta terjemahan itu. Dan tangannya berhenti pada salah satu halaman dalam Surah Al-Baqarah.

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemulian-Nya), lagi Maha Besar (kekuasan-Nya) (255)

Khairi terduduk membaca terjemahan tersebut. Dadanya terasa berat. Bagai ada sesuatu yang ingin keluar dari dalam dirinya, tidak ingin bersama dalam ruang alunan perempuan bertudung ungu. Tangan Khairi masih laju mencari ayat alunan perempuan bertudung ungu.

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (1) Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat (2) Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya (4)

Seperti ada satu batu yang sangat besar di bahunya, Khairi merasa lemah. Tubir matanya kini bertakung melihat dua halaman terakhir Al-Quran beserta terjemahan tersebut.

Katakanlah (wahai Muhammad); Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan (2) Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk (3) Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan) (4) Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya (5)

Satu demi satu kejadian muncul di hadapan matanya. Semua kejahatan Khairi dan teman-temannya dari remaja hingga kini sungguh pantas menjadi sesalan dalam jiwanya. Khairi tak merasakan dia ‘dilindungi’, tapi dialah ‘makhluk pembawa bencana’ dalam Surah itu.

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia (1) Yang menguasai sekalian manusia (2) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia (3) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam (4) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia (5) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia (6)

Air mata Khairi tumpah. Al-Quran beserta terjemahan itu dipeluk erat. Perempuan bertudung ungu itu cuba melindunginya dari penghasut hati manusia tanpa menyedari Khairi telah lama mengikut hasutan itu. Kerana mimpi itu Khairi tahu Allah masih menyayangi dirinya.

Wahai kekasihku,

Sesungguhnya kerana kekasihku aku ingin berubah menjadi lebih baik. Aku tak mampu menjadi sesempurna kekasihku namun aku akan mencuba sehabis baik. Dugaan itu bukan sahaja datang dari diriku sendiri, tapi dari mereka yang rapat denganku. Sehingga kini aku telah berjaya mengekalkan diriku yang baru ini dari segala kebiasaan lamaku. Segalanya untuk kekasihku.


Di tikar sejadah itu Khairi merenung kembali masa lalu. Masa lalu yang dia ingin tinggalkan. Dia sudah berazam pada dirinya sendiri untuk tidak mengulangi segala kesilapan itu. Konsentrasinya terganggu tatkala telefon pintar putihnya mengalunkan lagu ‘Heartbreak Girl’ nukilan bintang YouTube antarabangsa, Joseph Vincent.

“Khairi, kau kat mana? Jom keluar. Dah seminggu kita tak enjoy sama-sama. Malam ni happy hour,” suara riang Herman berkumandang di telefon pintar putih Khairi.

“Aku rasa aku nak lepak kat rumah jelah malam ni,” kata Khairi.

“Lepak kat rumah?! Bukan kau stress ke duduk kat rumah tu? Lebih-lebih lagi kalau ayah kau ada. Jomlah,” Herman masih mengajak.

“Sebenarnya, stress aku tak pernah hilang duduk kat pub tu.”

“Wei, jangan macam ni Khairi. Kita pergi seronok mana-mana pun bertiga. Kau tak boleh buat macam ni kat kitorang.”

“Okay. Aku keluar dengan korang malam ni. Tapi aku akan tentukan kat mana. Dan korang tak boleh bantah. Kalau aku ada kesan trick apa-apa, aku blah.”

“Cantik.”
.......................................................................................................................................................
“Kamu nak ke mana malam-malam ni, Khairi?” Suara Encik Ridwan membantutkan hala tuju Khairi.

“Khairi nak keluar kejap, jumpa kawan,” walaupun Khairi jujur, tapi Khairi tahu jawapannya akan bawa perbualan ini ke mana.

“Jumpa kawan kat pub mana pulak malam ni?” Tegas sahaja suara ayah Khairi, seperti selalu. Khairi hanya diam. “Kamu tahu kan si Herman dengan Darnish tu bad influence untuk kamu. Kamu nak sangat jadi liar macam dorang tu?”

“Papa, Khairi cuma nak keluar minum dengan dorang je,” satu lagi ayat yang akan buat mereka perang besar sekali lagi.

“Ha’ah! Pergi minum! Lepas tu, balik mabuk! Apa nak jadi dengan kamu ni! Kecik-kecik tak nak mampus! Dah besar menyusahkan mak bapak!”

Terguris Khairi mendengar kata itu. Namun Khairi masih lagi diam. Dia terus bergerak ke pintu rumah. Puan Baiduri menghampiri suaminya setelah Khairi hilang di sebalik pintu tersebut.

“Kenapa bising-bising ni bang?” Tanya Puan Baiduri.

“Tengoklah anak kesayangan awak tu. Makin lama makin tak dengar kata. Buat malu muka saya je. Lebih baik kalau saya tak ada anak daripada jaga biawak hidup macam dia!”

“Abang! Jangan cakap macam tu. Dia kan anak kita.”

“Salah awaklah ni! Manjakan sangat budak tu. Tengoklah apa dah jadi sekarang,” Encik Ridwan bergerak masuk bilik sebelum dia menghamburkan marah yang masih tersisa pada isterinya pula. Puan Baiduri hanya mampu menahan hiba.
.......................................................................................................................................................

“Warung mamak? What the hal?” mulut Darnish terlopong. Herman macam tak percaya dia akan masuk kedai seperti itu bersama Khairi.

“Nak tak? Tak nak, aku balik,” Khairi mahu kembali ke keretanya. Darnish tarik Khairi.

“Releklah Khairi. Jangan kelam-kabut. Kitorang masuk. Jom, Herman,” dengan langkah yang berat Herman dan Darnish duduk di salah satu meja. Setelah pelayan mengambil pesanan, Darnish memulakan perbualan.

“Khairi, kau ada masalah dengan manager pub yang kita nak pergi malam ni ke?”

“Takdelah. Aku dah tak nak pergi sana lagi. Tu je.”

“Tapi kenapa? Itu yang kitorang tak faham.”

“Aku rasa segala apa yang aku buat ni, macam ada yang tak kena. Memang kita berseronok kat sana, tapi rasa seronok tu sekejap. Sampailah aku dapat mimpi, dapat hidayah, menurut Ustaz Dhafa.”

“Ustaz Dhafa? Siapa tu?” Tanya Herman.

“Imam masjid kawasan taman rumah aku. Dah lebih kurang seminggu aku belajar dengan dia,” kata Khairi.

“Oh, member kita dah dapat hidayah. Dah lebih tahu pasal hal agama. Siapalah kita nak berkawan dengan bakal ustaz, ye tak Herman?” Darnish seakan mengejek.

“Korang, aku tak bermaksud untuk putus kawan. Bagi aku kita tetap kawan sampai bila-bila.”

“Dahlah Khairi. Aku tak tahu apa benda yang dah masuk dalam badan kau. Yang aku kau bukan diri kau. Kau bautlah apa kau nak buat. Aku tak nak masuk campur,” kata Herman.

“Aku pun sama,” Darnish angkat tangan tanda menyerah.

“Korang cubalah faham...” Khairi tidak mampu meneruskan ayatnya apabila seorang perempuan bertudung hijau melalui meja mereka. Khairi seperti pernah melihat wajah perempuan itu. Tapi Khairi tidak pasti memandangkan perempuan bertudung hijau itu cuma melalui meja mereka sepintas lalu keluar dari warung mamak. Tanpa bicara Khairi terus bangun membuntuti perempuan bertudung hijau. Herman dan Danish hanya melihat kelakuan teman mereka.

“Nak berubah konon, asal nampak perempuan cantik terus kejar,” omel Darnish.

Perempuan bertudung hijau kini di simpang tiga jalan besar, teragak-agak untuk melintas. Khairi ambil peluang ini untuk menegur.

“Assalamualaikum Cik Hidayah,” memandangkan perempaun bertudung ungu dalam mimpinya itu dikatakan hidayah dari Allah menurut Ustaz Dhafa, Khairi memanggil perempuan bertudung ungu dalam mimpinya dengan nama itu. Khairi tak menyangka nama itu menyebabkan perempuan bertudung hijau berpaling. Di bawah samar lampu jalan yang benderang, Khairi pasti itu perempuan bertudung ungu dalam mimpinya. Tapi perempuan bertudung hijau itu seperti terkejut melihat Khairi dan terus berlari melintas jalan. Khairi mengejar dari belakang tanpa menyedari ada kereta sedang bergerak laju ke arah mereka.

Kereta itu membunyikan hon, menyebabkan perempuan bertudung hijau memandang ke arah kereta. Seakan limpahan cahaya lampu kereta tersebut membuatkan perempuan bertudung hijau itu kaku tidak bergerak. Khairi sepantas kilat menolak perempuan bertudung hijau ke tepi tetapi tidak sempat menyelamatkan diri. Khairi terpelanting ke tengah jalan dengan kesakitan terlampau. Jeritan seorang perempuan dan suara panik seorang lelaki yang berjaya ditangkap gegendang telinganya sebelum semuanya menjadi gelap, lebih gelap dari malam.
Wahai kekasihku,
 
Sekali lagi aku rasa amat bersyukur dapat mengenali kekasihku walaupun dalam masa yang sungguh singkat. Andai ini takdir yang telah ditentukan aku terima dengan setulus hati. Tapi seandainya waktu dapat diundur, aku pasti ingin mengenali kekasihku dengan lebih mendalam. Andainya aku diberikan satu lagi kesempatan, satu lagi peluang, aku ingin terus mendamba cinta kekasihku. Demi kasih kita, aku ingin terus merasai keajaiban rasa sayang kekasihku kepadaku, sebelum kita bertemu. Tapi andainya kekasihku inginkan aku kembali, aku cuma ingin ucapkan, maafkan aku kekasihku, kerana melupakan kekasihku selama ini. Kekasihku, Tuhanku, Yang Maha Kekal, terimalah taubat hamba-Mu yang hina ini.

Amin, amin, Ya Rabbal Alamin.
Khairi mendengar suara perempuan bertudung ungu mengalunkan Surah Yassin. Khairi cuba buka mata dengan sedaya upaya. Alunan bacaan itu terhenti. Setelah kedua matanya dapat menerima cahaya sekeliling, Khairi melihat perempuan bertudung ungu itu tersenyum manis duduk di sebelah kanan tempat dia berbaring, cuma kali ini perempuan itu memakai tudung putih.

GIANT SHAH ALAM
26-11-2012
*Inspirasi dari lagu ‘Erti Kasih’ nyanyian Izwan Pilus

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...