Oleh / By: Rodrod
Dah empat kali Midah cuba bangun dari katil. Berat. Kepalanya sangat berat. Macam pesakit, dia terlantar sampai ke petang. Mungkin esok segalanya berubah. Mungkin esok harinya akan indah. Itu yang dia fikirkan. Untuk hari ni, dia tidak ingin berkawan dengan matahari. Dia hanya ingin berada dibilik dengan kipas uzurnya. Langsir ditutup serapat-rapatnya. Biarkan bilik itu menjadi gelap. Segelap hatinya. Midah mengerang kesakitan. Sambil menekan-nekan bahagian rahim. Kakinya menendang-nendang kayu katil. Kepalanya dihentak-hentakkan ke tilam. Sakitnya bukan kepalang.
Dia cuba menangis, setitik pun tidak mahu keluar malah bergenang pun tidak. Dia cuba ketawa, tapi tawanya kosong. Midah melelapkan matanya dengan kerut didahi. Dia menyesal atau sebenarnya dia lebih kepada takut. Dia ternampak satu cahaya putih dalam gelap mindanya. “Mungkin ini petunjuk”. Katanya dalam hati. Cahaya putih yang tadinya cuma cahaya, bertukar menjadi senyuman paling menakutkan. Midah cuba membuka mata. Tapi gagal. Seperti ada gam paling kuat. Senyuman itu kemudian berubah menjadi senyuman paling beriman. Midah seperti mahu menangis. Ketukan pintu berkali-kali mengejutkan Midah sekali gus membangkitkan dirinya dari katil. Perlahan dia membuka pintu. Belum penuh pintu dibuka, Seorang lelaki masuk terburu-buru.
“Kau dah buang?” soalnya tegas sambil duduk di atas katil dan menyalakan api di rokoknya. Midah mengangguk lemah. Lelaki tu menarik nafas lega. Lalu terus menarik tangan Midah menyuruh duduk disebelahnya. Dia mengusap-usap bahu Midah. Masa berhenti buat beberapa ketika. Senyap. Antara mereka tiada siapa yang bersuara. Hanya asap rokok yang rancak diawangan bermain sesama sendiri.
“Kau dah makan?” soal lelaki itu memecahkan sunyi. Midah menggeleng. Dalam hatinya mencarut-carut memaki lelaki itu. Tapi hanya dalam hati. Suasana kembali senyap dan beberapa detik kemudian lelaki itu berlalu pergi. Midah menjerit melepaskan marahnya. Semalam adalah hari yang paling ingin dilupakan. Semalam adalah hari yang paling kejam. Tanpa sedar, air matanya perlahan jatuh. Dia cuba kembali ke pangkal jalan. Tetapi dia lupa bagaimana. Dia lupa macam mana bacaan al-Fatihah dan yang sebenarnya dia tidak pernah tahu di mana arah kiblat. Dia tidak benci Tuhan sebab dia tahu, ini bukan salah Tuhan. Midah berulang-ulang kali bersujud, bersujud dan bersujud sambil menangis mohon diampunkan bagai orang hilang akal. Dia sendiri kurang pasti kepada siapa dia bersujud. Kepada siapa dia meminta ampun. Dia betul tersasar. Dalam pada itu, Midah yang menangis menggila mengambil tali dan mengikat tali itu ke kipas dengan satu gelungan bulat muat untuk kepalanya. “Aku telah membunuh dua manusia, bayiku yang tidak berdosa, dan diriku yang kupinjam. Maafkan aku Tuhan.” Bisik Midah dalam hati. Antara hati dan otak, Midah pilih hati.