6.4.13

Alert! Vampire Ahead! (Awas! Kanak-kanak Di Dalam!)

Oleh / By: Fatini Zulkarnain

BAM!!! Pintu kereta ditutup rapat. Sasaran dikesan. Kelihatan sasaran menaiki kereta Porche merah metalik keluar dari hotel lima bintang atas sebuah pusat membeli-belah. Dan Anjo si penyiasat persendirian mula mengekor dari belakang, kereta Ferrari FF hitam setianya meluncur laju di jalan raya. Tetapi...

“Papa nak pergi mana? Kalau balik rumah bukan selalu kita masuk jalan tadi ke?” satu suara kecil mengejutkan konsentrasi Anjo. Maka terlihat di balik biasan matanya seorang kanak-kanak lelaki kulit kuning langsat berambut nipis dipotong pendek sedang menggenyeh mata kirinya (warna kulit tangannya lebih gelap dari kulit muka).

“What the...” Anjo cuba mengawal stereng kereta sebelum berhenti di bahu jalan.

“Pak cik ni siapa?” budak lelaki itu bertanya.

“Who are you?” Anjo masih lagi terkejut tidak menghiraukan pertanyaan budak lelaki itu.


“Pak cik ni alien ek? Saya tak faham satu apa pun yang pak cik cakap,” wajah mamai budak lelaki itu tidak menunjukkan muka pelik. Anjo menarik nafas dalam-dalam.

“Adik ni siapa? Kenapa adik ada dalam kereta pak cik ni?”

“Eh, pak cik yang masuk dalam kereta ayah saya. Takkanlah saya ada kat sini tiba-tiba pulak.”

“Ni kereta pak ciklah. Kalau tak...” Anjo meraba poket seluarnya. Eh! Dikeluarkan segugus kunci. Kunci dengan lambang kuda hitam kelihatan menari bersama kunci-kunci yang lain.

“Kan dah kata...” budak lelaki itu senyum senget.

“What am I gonna do? I need to chase Vrag Duivel before he’ll found his latest meal. But I can’t leave this boy alone...”

“Emm, apa nama adik?” Anjo bertanya.

“Fahmi.”

“Baiklah Fahmi, Pak cik pinjam kereta ayah Fahmi kejap boleh? Pak cik tengah kejar kereta merah tu,” Anjo menumpukan perhatiannya pada jalanraya. Kereta merah itu berbalam-balam warnanya bercampur dengan kenderaan-kenderaan yang lain.

“Ye ke? Ke pak cik ni sebenarnya berniat nak culik saya?” Fahmi menduga.

“Kalau pak cik nak culik Fahmi, dah lama pakcik tutup mulut Fahmi. Banyak cakap sangat.”

“Okay. Saya bagi pak cik pinjam dengan syarat kereta jangan calar dan pak cik kena jawab semua soalan saya.”

“Set,” kereta bergerak semula ke jalanraya. Tetapi kereta merah itu telah hilang tanpa dikesan.

“Saya tak nampak pun kereta merah pak cik,” terangkat-angkat kepala Fahmi mencari kereta yang dimaksudkan.

“Pakai tali pinggang keledar,” Anjo senyum. Fahmi menurut dengan muka ragu-ragu. Kelajuan kereta dilajukan hingga 200km/jam. Fahmi tidak nampak apa-apa di hadapan tetapi Anjo mampu mengawal kereta dengan jayanya. Kelajuan kereta mula mula perlahan dan sedikit demi sedikit pandangan kabur Fahmi bertukar jelas dengan kereta merah metalik berada selang tiga kereta dari Ferrari FF hitam mereka.

“Hebatlah pak cik ni. Macam mana pak cik tahu?” Fahmi kagum.

“Salah satu skill yang pak cik guna untuk kejar orang.”

“Tapi tadi kereta tu betul-betul dah jauh sangat dari kita. Macam mana... Pak cik pakai GPS ek...”

Anjo diam mengangguk tak endah. Kereta merah itu kini berhenti di sebuah pub berneon biru. Anjo memberhentikan kereta lantas ingin turun tetapi Fahmi menarik tangan Anjo.

“Pak cik janganlah tinggalkan saya sorang-sorang...” Fahmi buat suara nak menangis.

“Orang yang pakcik kejar tu orang jahat. Pak cik perlu selamatkan orang yang dia nak bunuh malam ni.”

“Bunuh?!” Fahmi terkesima. Kemudian berbicara lagi. “Sini ramai oranglah, pak cik. Takkanlah dia berani bunuh orang kat tempat macam ni. Mesti dia bawak orang yang dia nak bunuh tu pergi tempat sunyi-sunyi sikit. Percaya cakap saya pak cik,” kata-kata Fahmi membuatkan Anjo berfikir sejenak. Dia mengalah dan masuk semula ke dalam kereta. Matanya tidak lepas dari memandang kereta Porche merah metalik. Fahmi menilik muka Anjo dengan teliti. Walaupun cahaya samar-samar tetapi Fahmi pasti dengan mata bundarnya lelaki di sebelahnya itu bukan warga tempatan. Muka bersegi, kulit cerah seperti ditampal bedak seluruh badan dengan rambut pacak kelapa sawit berjaket, seluar jeans dan kemeja hitam menguatkan lagi tafsiran Fahmi.

“Pak cik ni nama apa?” suara Fahmi memecah kesunyian.

“Anjo.”

“Pak cik asal dari mana? Muka pak cik tak nampak local langsung.”

“Pak cik dari Amerika. Penyiasat persendirian,” Anjo menghulurkan kad nama dengan lukisan kaligrafi udang galah aneh kepada Fahmi.

“Bahasa Melayu pak cik sangat... fluent for American, walaupun bunyi macam baca buku teks.”

“Pak cik ada banyak masa untuk belajar banyak perkara dalam dunia ni. ”

“Hebat...” kekaguman Fahmi membuatkan Anjo tersenyum.

“Pak cik pun ada soalan untuk kamu. Tadi kamu cakap kamu tak faham bahasa Inggeris tapi tadi pak cik dengar kamu cakap B.I. May you explain it?” Anjo bertanya.

“Saya ada habit tak faham bahasa lain selain Melayu bila bangun tidur. Simple.” Fahmi senyum nampak gigi. Anjo angguk faham.

“Kenapa pak cik cakap orang yang naik kereta merah tu orang jahat? Apa benda jahat yang dia dah buat?” Tanya Fahmi lagi.

“Dia tu pontianak dari...” penjelasan Anjo terbantut dengan dekah-dekah ketawa Fahmi.

“Kejap, pak cik cakap mamat tu pontianak?” Anjo diam memandang Fahmi tajam. “Okay, pontianak yang mana satu? Pontianak bling-bling bawah matahari? Pontianak jadi debu tengah panas? Pontianak boleh simpan taring dalam gusi? Pontianak terlebih bedak satu badan? Yang mana satu?”

“Kamu terlalu muda untuk hasil kerja Hollywood,” Anjo mengeluh.

“Jangan salahkan saya kalau mak saya ada buat buku skrap ’50 Jenis Pontianak Yang Boleh Ditemui di California’, description included. Tahap ingin tahu saya memang melangit,” kata Fahmi senyum tabik bangga diri.

“Jadi kamu rasa pontianak memang tak wujud?”

“Tepat sama sekali. Saya rasa pontianak ni cuma satu trademark untuk penulis dan pengarah.” Anjo berpaling pada Fahmi, tertarik dengan penjelasan kanak-kanak itu.

“Yelah. Pontianak Barat kan, semua high taste. Lepas tu, pontianak Cina mesti gundik, kalau tak pun menteri entah zaman bila. Pontianak Melayu pulak pilih gender, perempuan je. Yang mana satu betul ni pak cik? Konfius saya...”

“Yang pak cik kejar ni betul,” Anjo cuba menyakinkan.

“Ok. Kalau betul orang yang pak cik kejar tu pontianak, dia keturunan bangsawan ke, rambut serabai ke, suka melompat?”

“Pak cik banyak kali juga jumpa hantu rambut serabai dan hantu yang suka melompat. Tapi pak cik tak tahu pula yang hantu macam itu dinamakan pontianak di sini.”

Fahmi tepuk dahi. “Pak cik banyak kali jumpa hantu? Pak cik ni penyiasat persendirian ke pawang? Ke pak cik ni...” suara Fahmi mula tenggelam dalam perasaan. Dia bergerak ke bahagian tempat duduk belakang, mencari sesuatu. Anjo pandang ke hadapan dengan rasa ingin tahu.

“Alamak, ayah saya tak tinggalkan ubat halusinasi dalam keretalah...” Fahmi kecewa kembali ke tempat duduk hadapan.

Anjo diam. Makin dilayan makin payah untuk dia jelaskan.

“Ok, pak cik. Tell me, apa yang lelaki tu dah buat sampai dia dilabel orang jahat?” Mata
Fahmi menunjuk ke arah seorang lelaki berkulit cerah seperti Anjo berambut perang hidung mancung dan senyum lebar sedang membukakan pintu kereta merah kepada seorang gadis berambut hitam berkulit hitam manis di bawah malap kecerahan lampu jalan.
“Lelaki tu pontianak....” dan Fahmi mencelah. “Ok-lah pak cik. Saya bayangkan pak cik sedang guna kod rahsia dengan saya. Sila sambung.”
“Lelaki tu pontianak bernama Vrag Duivel. Anak pelanggan pak cik hilang dua bulan lalu. Mayat anak pelanggan pak cik ditemui minggu lepas. Dia minta pak cik siasat siapa yang bunuh anak perempuan dia. Dan modus operandinya menjurus kepada Vrag Duivel. Tapi bila pak cik dah dapat buktikan dia bersalah, Vrag menghilangkan diri. Pak cik dah berjanji, sebab tu pak cik tak lepaskan Vrag dengan begitu mudah.” Anjo menghulurkan dua fail. Satu fail tiga muka surat penuh dengan gambar mayat seorang perempuan dari pelbagai sudut, jauh dan dekat. Wajah cantik pipi cengkung hidung mancung gadis itu kaku dengan dua bintik merah selari di leher gadis tersebut selain badannya penuh dengan kesan lebam dan calar.
Fahmi menilik satu lagi fail yang diberi. Fail yang lagi tebal dari fail pertama itu menunjukkan gambar Vrag Duivel. Tapi gambar itu seperti dilukis pada zaman yang sama Da Vinci lukis ‘Mona Lisa’. Fahmi merasakan semangat cosplay Vrag sangat tinggi (Anjo macam dah tak ada gambar lain nak letak kat dalam fail Vrag). Fail itu penuh dengan salinan laporan polis dari tahun 60-an hingga sekarang dari pelbagai bahasa (Fahmi tahu itu laporan polis sebab perkataan ‘polis’ dalam laporan semuanya hampir sama. Jadi Fahmi rasa kertas tulisan China, Jepun dan India juga adalah laporan polis). Dan semuanya ada satu kesan cop bertulisan merah (yang Fahmi faham hanya perkataan unsolved case).
“Sampai Asia pak cik kejar mamat ni? Hebatnya....” Kekaguman Fahmi pada Anjo bertambah setelah sehelai demi sehelai kertas laporan itu Fahmi belek.
Ferrari FF hitam itu bergerak seiring dengan Porche merah. Mata Fahmi kini tekun mengikuti Porche merah seperti mata kucing mengekori ekor tikus. Sehinggalah Porche merah itu berhenti di sebuah lorong jalan mati tersepit antara dua bangunan lusuh dan satu pagar dawai yang sangat tinggi melintangi hujung kedua bangunan berkenaan menjadikan ruang jalan mati itu terhad. Lorong yang senyap mati itu tiba-tiba dipenuhi gagak berterbangan saat jeritan frekuensi tahap tertinggi kedengaran dari Porche merah.
“Tunggu dalam kereta. It’s gonna get messy,” Anjo memberi amaran. Fahmi menurut dalam paksa. Dari cermin hadapan kereta dia nampak Anjo ketuk tingkap Porche merah sebelum (Fahmi rasa) Anjo buka pintu kereta Porche bahagian penumpang hadapan secara paksa sehingga pintu kereta yang tidak mempunyai apa-apa kesalahan pada Anjo tersebut melekat pada tangan Anjo sebelum dipelantingkan ke hujung jalan mati.
Perempuan yang Fahmi nampak masuk ke dalam Porche merah itu kini keluar dengan baju yang koyak-rabak dan kulitnya penuh calar-balar. Perempuan itu berlari keluar dari lorong sebaik sahaja dentuman pintu kereta jatuh ke hujung jalan mati.
Fahmi mengalihkan tumpuannya pada Anjo. Vrag kelihatan sangat marah sehingga (Fahmi rasa) wajahnya berubah secara mendadak. Matanya lebih tenggelam ke dalam, menampakkan matanya persis lubang mata tengkorak di bawah sinaran kegelapan jalan mati. Giginya putih segi tiga tajam bersinar tersusun jarang-jarang seperti gigi ikan piranha, mampu memamah apa sahaja termasuk tulang. Gigi yang paling jelas kelihatan adalah dua gigi taring yang lebih panjang dari gigi-gigi yang lain.
Vrag menyerang Anjo secara bertubi-tubi. Setiap serangan Vrag Anjo tepis dengan mudah. Bila ada peluang Anjo akan cuba menyerang dada Vrag tetapi Vrag seperti dapat menduga gerakan Anjo. Yang paling Fahmi rasa tidak masuk akal adalah dari pertarungan atas jalan kini Vrag dan Anjo menyerang satu sama lain di udara dengan melompat dari bangunan kiri dan kanan mereka. Anjo dan Vrag seperti sepasang burung hantu yang sedang berperang di antara kebenaran dan kejahilan dalam sebuah filem animasi kegemaran Fahmi.
Satu tendangan padu Anjo ke perut Vrag menjunamkan Vrag tepat ke hadapan Ferrari FF hitam. Kali ni Fahmi yakin matanya tak silap lagi. Kurang satu minit Vrag berada di hadapan Ferrari FF hitam ingin menuju ke arah pintu kereta tempat duduk Fahmi, tiba-tiba Anjo muncul entah dari mana bersama sebatang kayu runcing di hujung dan menikam Vrag. Dan lelaki asing itu sepatutnya berdarah tetapi tubuh Vrag bertukar menjadi debu kelabu berterbangan di udara.
Fahmi dapat lihat Anjo dengan jelas. Wajahnya tidak lagi seperti wajah yang Fahmi lihat tekun mengejar Vrag. Yang paling ketara adalah gigi taring Anjo yang putih berkilau di bawah sinar bulan. Pandangan mata Anjo kosong tiada rasa belas. Yang terpamer hanyalah kekejaman. Dan itu sangat menggerunkan Fahmi tatkala Anjo melihat tepat ke matanya. Dia ingin lari tapi seperti ada satu tangan dingin menolak kepalanya ke hadapan, membuat Fahmi pengsan serta-merta sebaik sahaja dahi luasnya bertembung dengan tempat tersimpannya beg udara untuk kecemasan. Ada suara seperti sayup masuk ke telinga Fahmi.
“I’m sorry. But it’s for your own good.”
Tok! Tok! Bunyi ketukan di tingkap mengejutkan Fahmi. Mimpi mengenai seorang penyiasat bersendirian a.k.a pontianak bernama Anjo seperti berbalam-balam dalam ingatan. Pintu dibuka dan ibu Fahmi memeluknya dengan erat. Terdapat kesan air mata kering di pipi ibu Fahmi.
“Kenapa mama nangis? Fahmi tidur dalam kereta jelah mama.” Suara mamai Fahmi membuatkan ibu Fahmi semakin sebak.
“Mama Fahmi nangis sebab mama ingat dia tak dapat jumpa Fahmi lagi. Tadi, masa Fahmi tengah tidur ada sorang lelaki terambil kereta ni tadi. Dia ingat ni kereta dia sebab tak ramai pakai kereta macam kita. Bila dia perasan Fahmi ada kat belakang dia dah jauh. Mujur dia datang balik sini dan ambil kereta dia.” Dengan suara tenang bapa Fahmi bercerita di sebelah ibu Fahmi.
“Ye ke? Fahmi tidur mati kot. Sebab tu tak perasan,” Fahmi senyum kambing.
“Maafkan mama ya? Mama janji mama takkan tinggalkan Fahmi sorang-sorang lagi,” ibu Fahmi mengangkat sumpah.
Tiba-tiba sebuah Ferrari FF hitam seperti kereta keluarga Fahmi tetapi berbeza nombor plat lalu di hadapan mereka.
“Tulah lelaki yang hantar Fahmi balik,” mata bapa Fahmi menunjuka ke arah kereta Ferrari FF hitam tersebut.
Fahmi yang ingin mengucapkan terima kasih terpempam kerana wajah lelaki tersebut menyebabkan mimpi berbalamnya muncul dengan lebih jelas, sejelas realiti. Satu ayat dari dalam mimpinya terngiang berulang-ulang:

“Pak cik ada banyak masa untuk belajar banyak perkara dalam dunia ni.”

“Muka dia macam pelakon dalam drama pontianak dari Amerika tahun 1999, kan Fahmi? Silly me, mama lupa yang Fahmi tak lahir la..,” dialog ibu Fahmi digantikan dengan menjerit nama Fahmi berulang kali apabila Fahmi pengsan untuk kali yang kedua pada hari itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...