25.2.13

Bila Kita Boleh Jumpa?

Oleh / By: Fatini Zulkarnain



12.00 p.m.
Aku duduk dengan penuh harapan. Aku yakin KTM KL Sentral akan menjadi medan penyatuan cinta aku dengan Dek ‘Ah. Ya Dek ‘Ah si cantik manis yang ku kenal di Facebook. Cerita perkenalan kami sangat romantis sehingga kedengaran di corong radio (tengok perkataan Facebook mesti korang tahu lagu yang mana kan?).

Ramai juga yang membangkang cinta murniku. Kata mereka aku punya rupa, punya harta. Laman Facebook hanya gelak-gelak dan suka-suka. Tiada apa yang serius untuk dikongsi bersama. Nama betul Dek ‘Ah pun aku tak tahu (Kami membongokkan diri dengan tidak berkongsi nama sebenar selagi tidak bertemu. Perkara lain tak apa). Mungkin Dek ‘Ah bukan perempuan. Mungkin Dek ‘Ah musuh kolejku. Mungkin juga Dek ‘Ah seorang psiko tegar.

Aku menyangkal dengan menunjukkan nombor telefonnya pada teman dan keluargaku. Aku juga menelefon Dek ‘Ah dan membiarkan dia berbicara dengan ibu bapaku. Buat mereka yang masih bising, aku malas nak peduli. Aku bukan kenal dorang macam aku kenal Dek ‘Ah.

Sejak dari ibuku mahu melihat face-to-face orang yang membuatkan anaknya angau menyanyi dalam peti sejuk, aku selalu mengajaknya keluar untuk berjumpa. Dek ‘Ah seperti keberatan. Dia kebah dengan ayat-ayat ajakan aku setelah seminggu mencuba (Akhirnya! Kini pasti! Ku merasai! Cin... sorry, nilah yang bakal berlaku pada aku kalau terlebih excited, karok lagu Anita Sarawak tanpa muzik).

4.00 p.m
Aku tak rasa aku salah masa. Aku tak rasa aku rabun. Mesej dari Dek ‘Ah dua hari lalu memang aku hafal. Tapi aku buka sekali lagi Galaxy S3 aku untuk kepastian.
‘Kte jmpe kat KTM Kl Sentral dlm kul 12. Can’t wait.’

Semakin laju masa berlalu semakin laju degupan jantungku. KTM akan melalui stesen tak tentu masa. Dan setiap kali lampu kuning keretapi KTM muncul setiap kali itulah aku menjengukkan kepala melihat mereka yang keluar dari perut KTM. Tiada satu pun wajah dari gambar Dek ‘Ah muncul. Setiap panggilan dan mesej tak mendapat sambutan. Tak apa. Mungkin dia ada kecemasan dan telefonnya mati tengah jalan.

8.00 p.m
Galaxy S3 milikku menari irama ’50 Ways To Say Goodbye’. Sepantas kilat aku angkat.

“Dek ‘Ah?” Tolong cakap ini Dek ‘Ah, Tolong cakap ini Dek ‘Ah, TOOLONG CAKAP INI DEK ‘AH!

“Amboi, baru jumpa dah berangan dalam telefon?” suara Mama menerobos telingaku.

“Eh, takdelah Mama. Afiq tengah tunggu dia lagi ni,” kataku memasukkan hampa dalam kotak besi.

“La, tak sampai lagi ke? Sekarang dah pukul berapa ni? Korang janji pukul berapa?” soalan bertubi-tubi. Mama concern, bukan membebel.

“Dia emergency kot, Mama,” bunyi keretapi KTM menyelamatkan aku. “Ada KTM dah sampai. Afiq pergi check dulu. Love you Mama.” 

12.00 a.m
Aku lapar. Aku penat. Aku haus. Aku letih. Dek ‘Ah tak muncul depan mata aku. Sekarang aku cuma berharap ini hanya prank dari mana-mana stesen TV untuk mengenakan aku. Sekurang-kurangnya kurang rasa malu (dan dapat tengok muka hensem aku masuk TV). Angan-angan aku tergendala seketika tatkala Galaxy S3 di tangan meronta lagu ‘Dikalung Kasihan’. Satu SMS dari Dek ‘Ah yang membuatkan hati aku berbunga memandang ke kawasan bertentangan yang tiada penghuni dan terus membengkak mendadak. Dengan langkah luas aku terus meninggalkan KL Sentral.

‘Sy dh smpi. Sy kat dpan awk.’

Apa yang kawan aku cakap memang betul. Aku tak sepatutnya percaya bulat-bulat. Tak ada yang serius kalau semuanya secara online. Aku yang cari bala. Memang padan muka aku. Sampai rumah komputer akan jadi pertama dituju (memandangkan Galaxy S3 aku dah bersemadi dengan aman dalam poket menanti untuk diberi tenaga baru).

Dalam Koenigsegg CCXR kelabu aku berharap aku akan sampai sampai cepat ke rumah. Tetapi biasalah, lampu merah merata tempat selalu menyakitkan jiwa aku. Aku berhenti di lampu isyarat sebelah kedai mamak. Kedai itu sedang menayangkan berita dalam Bahasa Inggeris. Aku cuma mampu tangkap perkataan girl, dead, dan train tatkala lampu merah bertukar hijau.
...................................................................................
11.00 a.m
Aku nak sangat jumpa Syafiq Rockafellas. Orang pertama yang aku sayang dalam ayat manis kaku taipan komputer. Tapi aku tak tahu, hari yang sepatutnya menggembirakan kami bertukar menjadi hari terakhir aku sebagai seorang manusia. Semua sebab aku nak sangat jumpa dia.

Seperti yang dijanjikan aku ingin sampai ke KL Sentral pada pukul 12. Aku dengan senyum meleret berjalan ke stesen Rawang. Senyumanku mati apabila aku terlihat kelibat keretapi KTM dari jauh. Jadi aku berlari sepantas yang termampu sebab aku takut aku terlambat bila aku dengar bunyi keretapi ingin bergerak. Selama 20 tahun aku tinggal di Rawang aku tahu nisbah jadual perjalanan keretapi KTM dari Rawang untuk tepat adalah satu nisbah NEVER.

Dalam perasaan terburu-buru ingin melihat kegembiraan Syafiq Rockafellas aku tak perasan ada seorang mak cik sedang mop lantai stesen. Aku cuba elak dan perlahankan larian tetapi terbabas terbang ke tengah landasan keretapi KTM yang sedang bergerak betul-betul dihadapanku . Secara jujurnya aku tak tahu aku mati terseksa atau tidak. Aku tak ingat.

Dan entah mengapa aku tiba-tiba berada di rumah. Melihat senyuman ibuku menanda karangan murid darjah tiganya. Melihat ketulusan ayah mencari nafkah menarik perabot-perabot yang tak dibayar secara berhemah. Aku terbang dari satu insan ke satu insan yang lain. Semuanya insan yang aku sayang.
 
12.00 a.m
Aku tiba di stesen KTM KL Sentral yang kosong. Aku tak tahu kenapa aku perlu muncul kat sini. Aku yakin Syafiq Rockafellas sudah lama pulang. Pulang meninggalkan harapan ingin bertemu aku kat sini.

Dari kejauhan aku lihat seorang lelaki sedang duduk dalam keadaan tak terurus. Aku dapat lihat tubuhnya keletihan seperti dia berpuasa tetapi lupa untuk berbuka. Dia memandang ke hujung landasan membelakangiku. Aku tak kenal dia siapa dari belakang. Dan sudah semestinya dia tak akan mendengar suaraku.

Aku berdiri di hadapannya secara mengejut. Tapi aku yang terduduk terkejut. Wajah lelaki itu persis Syafiq Rockafellas dalam gambar-gambar yang aku terima. Sungguh aku tak sangka dia lebih kacak dari apa yang gambarnya tayangkan. Dan aku rasa aku semakin jatuh cinta pada dia. Aku ingin tengok senyuman dia sebelum aku pergi.

Telefon bimbit yang dia pegang kejap aku sentuh dengan hujung telunjuk. Aku ucapkan sesuatu namun hanya gerak bibir yang ku rasakan. Telefonnya bernada sayu, seperti tahu tuannya akan kecewa dengan apa yang bakal dipaparkan.

‘Sy dh smpi. Sy kat dpan awk.’

Aku dapat melihat senyumannya tatkala satu demi satu huruf di telefonnya diperhati. Dia memandang tepat mataku. Dalam lima saat mata kami bertaut, senyumannya pudar. Keindahan dalam senyumannya bertukar menjadi kesengsaraan dalam amarah sebelum berlalu dengan pantas.
Mungkin Syafiq Rockafellas marah sebab aku takkan jumpa dia lagi. Dalam linangan air mata yang membasahkan pipi tapi tidak lantai stesen, aku merasakan ada tangan runcing bercahaya menarikku. Aku mengikut ke mana tangan itu membawaku dalam tangisan kebahagiaan gara-gara satu senyuman. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...