4.3.13

Cepat Sedar

Oleh / By: Fatini Zulkarnain

Kali ini Jiji nekad. Berdirinya dia di perhentian bas menanti bas U80 dengan satu misi tambahan. Bas yang selalu dia gunakan untuk ke tempat kerja akan jadi medan perang antara Jiji dan Tukang Seluk Saku. Sehingga kini nasib lebih memihak kepada Tukang Seluk Saku dengan keputusan 12-0. Tapi kali ini, Jiji sudah bersiap sedia dengan ‘senjata rahsia’.

Menurut pengalamannya yang sudah, Tukang Seluk Saku akan menyelinap ke dalam bas di antara pukul 8.30 hingga 9.00 pagi. Bas hari ini muncul pada pukul 8.45 pagi. Bermula dengan Bismillah, Jiji menaiki bas yang sudah sedia sesak, memaksa dia berdiri dalam keramaian (itu yang Jiji harapkan). Dia cuba berlagak biasa walaupun hatinya berdetak kencang. Kali ini dia tak boleh kalah! Lebih-lebih lagi bila dompet edisi terhad ‘Super Junior’ menjadi taruhan.

Sedang Jiji melekakan diri dengan menyumbatkan lagu-lagu rancak dari Korea, tiba-tiba...

ZAP! Jiji terdengar satu bunyi dari beg sandang bertali satu Quicksilver-nya disusuli dengan beg Jiji tertarik ke belakang oleh satu daya. Umpan sudah mengena! Hati Jiji girang namun ditahan perasaannya dari muncul ke wajah. Bas masih bergerak laju tanpa singgah di mana-mana. Jiji memulakan kiraan dalam senyap. Sejurus kiraannya mencapai angka 60, dia melangkah ke hadapan. Tubuh gempalnya menjadi halangan untuknya bergerak dalam bas yang sudah mampat. Perlahan-lahan, Jiji sudah berada di sebelah pemandu bas, seorang lelaki gendut berambut lebat dan bermisai kelabu.

“Pak cik, boleh pinjam mike tak?” Pinta Jiji.

“Tak boleh! Ni kegunaan pak cik je. Tak boleh buat main,” tegas pemandu tersebut.

“Tapi pak cik, ni soal hidup dan mati,” muka serius Jiji membuatkan pemandu bas itu berfikir sambil matanya menatap lebuh raya (kang eksiden nanti siapa nak tanggung?).

“Kamu bagitahu pak cik untuk apa kamu nak guna mike tu. Biar pak cik announce-kan,” jawapan itu susah cukup buat Jiji menarik nafas lega.

...................................................................................
“Perhatian kepada sesiapa yang terambil dompet kulit warna hitam bertulisan Super Junior, sila kembalikan dompet tersebut kepada tuannya sekarang,” suara garau pemandu bas itu bergema dalam kemampatan bas U80. Phiko-Phet terkejut. Sepanjang 12 kali dia mencuri dompet budak gempal bercermin mata itu (masuk yang ini dah 13 kali), inilah kali pertama budak gempal bercermin mata bertindak. Secara jujurnya Phiko-Phet sendiri tidak tahu apa yang budak gempal bercermin mata itu sumbatkan dalam begnya kali ini. Tangan kanannya yang sakit seperti disengat masih terasa, lebih-lebih lagi di bahagian bulatan merah di jari hantunya. Tapi asalkan dompet tebal budak itu berada dalam genggamannya, kesakitan itu berbaloi.

“Diulangi, perhatian kepada sesiapa yang terambil dompet kulit warna hitam bertulisan Super Junior, sila kembalikan dompet tersebut kepada tuannya sekarang. Jika tidak, anda akan mati dalam masa dua minit.”

Memang budak itu sudah gila. Tidak lama lagi bas itu akan berhenti di satu perhentian bas bersebelahan dengan taman perumahan. Walaupun itu bukan hala tujunya hari itu tetapi dia perlu turun segera sebelum ditangkap.

Namun sampai sekarang tangan kanannya masih sakit. Dan rasa sakit itu kini diiringi dengan rasa kebas, seperti menjalar ke seluruh lengan. Phiko-Phet yang berdiri berdekatan dengan pintu keluar serta-merta terbaring di lantai bas dengan bunyi yang kuat, cuba menahan pening yang tiba-tiba muncul.

Beberapa penumpang bas kecoh dengan apa yang berlaku. Telinganya tak dapat menangkap butir bicara muka-muka cemas yang cuba membantu. Namun pendengarannya berdesing apabila wajah budak gempal bercermin mata itu menghiasi penglihatannya, cuba mengangkat kedua belah tangan Phoket-Phit dengan pertanyaan:

“Kenapa tangan kiri pak cik lagi kecil dari tangan kanan pak cik?”
...................................................................................
Tukang Seluk Saku sudah berada dalam genggaman Jiji. Diseluk setiap inci pakaian Tukang Seluk Saku itu. Akhirnya dompet kulit hitam Super Junior milik Jiji ditemui bersama lima dompet pelbagai warna dan saiz (Jiji agak kagum bagaimana Tukang Seluk Saku yang kurus bagai papan lapis itu mampu menyembunyi dompet-dompet tebal tanpa syak wasangka orang ramai). Tukang Seluk Saku itu kelihatan semakin tenat. Bibirnya kebiruan. Nafasnya kencang.

“Pak Cik! Orang tu dah nazak! Kita kena bawak dia ke hospital sekarang!” Salah seorang penumpang terpekik kepada pemandu bas. Belum sempat pemandu bas gendut itu menyusur keluar dari laluan hariannya, Jiji menegah.

“Tak payah pak cik. Kejap lagi saya nak turun,” kata Jiji sambil mengeluarkan picagari dari poket di belakang begnya. Saat picagari berisi cecair jernih itu ditusukkan ke dalam salur darah Tukang Seluk Saku, bas itu telah berhenti di Hentian KL Sentral.

“Cepat sedar ya, pak cik,” kata Jiji sebelum turun, meninggalkan Tukang Seluk Saku yang semakin teratur nafasnya dikelilingi orang ramai yang berang dengan Tukang Seluk Saku.
Sebaik sahaja bas itu meninggalkan Jiji, dia mengeluarkan perangkap tikus saiz kecil dengan sebatang jarum dicacakkan di tengah-tengah tempat letak keju. Jarum itu diselaputi cecair berlendir kuning. Kelihatan ada sedikit darah di jarum itu. Jeratnya mengena.

“Tak sia-sia aku jaga Kobra Khan minggu lepas. Best jugak jadi doktor haiwan ni,” kata Jiji (lebih kepada dirinya sendiri) sambil membalut perangkap tikus itu dengan tisu lembap sebelum dicampakkan ke dalam tong sampah berdekatan.

P/S: Cerita ini saya tujukan kepada @OfficialJiji dengan ucapan bila kita boleh lepak melalak sambil minum Sprite lagi?
(^_^)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...