23.10.11

Telur Pindang

Oleh / By: Aan


WATAK
Busu - 6 tahun
Along - 12 tahun
Angah - 9 tahun
Ibu - Awal 40an

Tiga adek-beradek sedang terbongkang di depan peti televisyen yang masih mempunyai bonjolan di belakangnya. Kadangkala warnanya ada kadangkala hitam putih je. Along, angah dan busu masing-masing menunggu kepulangan ibu mereka yang dari tadi keluar mencari rezeki dengan menjual kerepek dari rumah ke rumah. Ibu terpaksa mencari rezeki sendiri setelah bergelar ibu tunggal lima tahun dahulu setelah suaminya meninggal. Angah dari tadi sudah berdengkur manakala Along pula enak mencium bau jarinya yang dicelupkan ke dalam lubang pusatnya berulang kali. Ini tandanya Along juga mahu check-in ke Taman Mimpi. Suasana petang dan cuaca yang mendung sedikit sebanyak mengghairahkan nafsu tidur mereka. Tetapi bagi Busu, nafsu makannya lebih terancam. Setelah melihat abang-abangnya tidur Busu mula merencana perancangan yang dia fikirkan dari tadi.

Busu masuk ke dalam satu-satunya bilik yang ada di dalam rumah pusaka itu. Dia berjalan ke arah sebuah almari laci yang terletak di sudut bilik. Setelah beberapa ketika segugus kunci berada di tangannya yang diambil dari dalam sebuah laci tersebut. Kemudian langkahnya dibawa pula ke sebuah almari pakaian berkunci yang berada di sebelah. Busu mencuba beberapa kali untuk memuatkan batang kunci ke dalam lubang mangga. Akhirnya batang kunci yang sesuai memecahkan kebuntuan mangga yang berkunci itu. Di dalam almari yang hanya beberapa helai pakaian itu terletak elok sebuah periuk. Busu mengambil dan membuka periuk itu. Di dalamnya terdapat empat biji telur pindang cukup-cukup untuk semua bilangan keluarganya.

Sebenarnya tengah hari tadi, Busu ternampak ibu membawa periuk itu ke dalam bilik. Busu mengintip pergerakan ibu. Sebab itulah dia tahu mana kunci almari disorokkan. Tanpa melengahkan detik, Busu dengan rakusnya menelan satu satu biji telur tu seperti biawak hidup. Setelah selesai, dia meletakkan semula periuk di tempatnya dan mengunci semula almari. Kuncinya disimpan di tempat yang dijumpainya tadi. Kemudian dia menyertai abang-abangnya ke Taman Mimpi.

Pulangnya ibu dalam kepenatan ditambah pula dengan kemarahan melihat ketiga-tiga anak lelakinya terbongkang tidur sedang waktu sudah menjengah senja.

"Bertuah punya anak! Senja-senja tidur! Bangun!" jerit ibu dalam volume suara yang tinggi.

Mendengar suara nyaring ibu, masing-masing bangkit dan terus bergegas mencari tuala. Sementara ibu meneruskan leteran berapi, mereka bertiga masuk ke dalam bilik air yang mempunyai kolah ditemani tiga gayung. Daripada luar boleh didengar bunyi dentuman air terhempas ke lantai tidak henti-henti. Bergilir-gilir.

Solat Maghrib baru sebentar dilunaskan oleh ketiga-tiga beradik ini. Mereka pun membantu ibu menyediakan juadah makan malam. Malam ini hanya terdapat ikan goreng dan sambal tumis ikan bilis.
"Kejap!" ibu menyuruh anak-anaknya tunggu sambil menghayunkan langkah masuk ke dalam bilik.

Tidak lama kemudian ibu membawa sebuah periuk dalam keadaan marah. Busu menundukkan kepalanya.

"Siapa yang makan telur pindang ni sampai habis!? Cakap! Angah! Kau makan eh?!" Soal ibu dalam keadaan marah.

Selalunya dalam situasi ini, Angah memang selalu dipersalahkan. Mungkin atas faktor dia lebih gemok dari yang lain dan untuk menyokong tuduhan tersebut Angah pernah menghabiskan rendang yang disorok ibu raya tahun lepas. Sekali kita buat salah sampai bila-bila orang akan ingat.

"Bukan ibu. Bukan angah! Tadi angah tidur je," Angah membela diri.

"Haii...tak tahulah engkau orang ni. Kempunan ibu nak makan telur pindang," ibu berkata kepada anak-anaknya dalam sedikit nada sedih.

Seorang pun tidak mengaku. Busu hanya mendiamkan diri. Mereka pun makan juadah malam tersebut tanpa telur pindang.

Malamnya, sebelum tidur, Along dan Angah bercerita tentang sebuah kisah rakyat tentang bagaimana seorang ibu telah merajuk kerana kempunan telur ikan temakul yang dihabiskan oleh anak-anaknya. Kemudian ibunya telah pergi ke batu belah batu bertangkup dan ditelan hidup-hidup. Busu yang mendengar cerita itu, mula merasai ketakutan. Dia tidak mahu kehilangan ibu. Matanya bergenang dengan air mata penyesalan.

Keesokkan harinya, Along terbangun dari tidur, dan perasan yang Busu tidak berada di sebelah. Jam ketika itu baru menyinggah pukul 3 pagi. Masih terlampau awal lagi untuk Busu bermain di luar rumah. Along menggerakkan Angah bangun dari tidur. Mereka mencari adik bongsunya itu di sekeliling rumah. Namun tak dijumpainya. Ibu yang masih nyenyak di dalam bilik pun dimaklumkan tentang perkara itu. Setelah di dalam rumah tak ditemui mereka meneruskan pencarian. Level kerisauan mula mencanak ke puncak apabila Busu masih tidak ditemui setelah dicari di sekeliling halaman rumah juga. Air mata ibu mula berjujuran melimpahi pipinya.

"Along! pergi rumah tok penghulu cakap Busu hilang! Angah pulak pegi rumah Ayah An bagitahu dia," suruh ibu sambil menangis teresak-esak.

Mereka pun berlari ke destinasi yang disuruh ibu tadi. Selang lima belas minit selepas itu orang kampung sudah mula berkumpul di rumah Ibu. Penghulu mengarahkan lelaki-lelaki kampung membuat dua kumpulan untuk mencari Busu. Satu kumpulan ke sebelah kanan dan satu lagi ke sebelah kiri kampung. Manakala kaum wanita disuruh tunggu di rumah dan menteteramkan ibu.

Merata-rata tempat mereka mencari Busu. Sehingga masuk ke dalam hutan di hujung kampung. Tetapi masih tidak berjaya menjumpai Busu. Semua tempat yang Busu seringkali pergi untuk bermain juga tidak ada. Matahari sudah mula menampakkan diri dan semakin meninggi. Mereka memutuskan untuk berhenti mencari seketika dan pulang semula ke rumah ibu. Kebetulan semasa melintasi rumah Pak Man, reban ayamnya tiba-tiba riuh dengan bunyi ayam. Pak Man yang berada sama bergegas pergi ke reban ayamnya itu diikuti kumpulan mencari itu. Kebelakangan ini, banyak kes kecurian telur ayam dan ayam di dalam kampung. Alangkah terkejutnya mereka bila mendapati Busu berada di dalam reban tersebut. Kemudian mereka membawa Busu pulang ke rumah.

Hati ibu mana yang tidak sedih bila anaknya hilang. Matanya masih bergenang dengan air mata. Sedang cahaya matahari mula bersinar, dari jauh ibu yang cukup kenal benar anaknya sendiri sudah dapat melihat Busu bersama dalam kumpulan pencari itu. Ibu bergegas mendapatkan anak bongsunya itu sambil menangis.

"Busu, mana busu pergi? ibu risaukan busu. Jangan buat macam ni lagi," rintih ibu.

"Maafkan Busu ibu, busu yang habiskan telur pindang semalam. Busu lapar. Busu tak nak ibu mati. Busu tak mahu ibu pergi batu belah batu bertangkup." busu meluahkan penyesalannya dalam tangisan.

Setelah suasana sedikit tenang, Along bertanyakan sesuatu kepada Busu, "Busu, kenapa busu menyorok dalam reban ayam Pak Man? Busu takut ibu marah eh?"

"Busu nak ganti telur pindang semalam. Tapi bila busu carik dalam reban ayam, telur dia tak sama dengan telur pindang semalam. Busu pun tunggu sampai ayam tu bertelur telur pindang. Lama busu tunggu sampai tertidur," jelas Busu teresak-esak.

2 ulasan:

syafiqa berkata...

busu sangat baik hati.penuh penyesalan.haha

Azizi Dain berkata...

temakul ke tembakul ha? #soalan ni serius ok.

btw, nice description. lalala

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...