31.10.11

Milo Sembur

Oleh / By: Aan


Pagi ni Pian berasa tak sedap hati. Entah apa yang dimasaknya malam tadi. Semasa mahu pergi ke bilik air kakinya tersadung lalu terjatuh ke lantai. Dia terus bangun tanpa melihat adiknya di belakang yang dari tadi memerhati. Memang selalunya Pian akan masuk ke dalam tandas dahulu kerana dia yang paling lambat mandi. Kebenarannya, mandinya kejap, apa yang menjadikannya lama di dalam bilik air kerana perlu memaksa beraknya keluar satu persatu walaupun jubonya belum gatal lagi nak keluarkan tahi. Alasannya, sepanjang berada di sekolah, dia tidak mahu ke tandas sekolah kerana terletak di hujung sekolah bersebelahan dengan tempat buang sampah dan dibelakangnya ada longkang besar. Tandas sekolah juga bukanlah tempat yang selesa untuk melepak lama-lama. Pintunya tidak boleh dikunci dan kadang-kadang kawan-kawan sekolah yang lain tidak reti membilas setelah menuai ataupun alat pengepam tidak berfungsi.

Pagi ini juga kali pertama Pian ke sekolah setelah kali terakhirnya pada dua bulan yang lepas. Pian akan memulakan tahun baru di sekolahnya di kelas yang lain di tahun 5. Semasa mahu menyelesaikan kira-kira butang bajunya, salah satu butang secara tiba-tiba tercabut dari benangnya walaupun baju itu baru dibelinya semasa cuti di KAMDAR. Kali ini pembeliannya tidak berbaloi.

Di dapur, ibu sudah menyediakan secawan Milo suam dengan tiga keping roti dikongsi dengan adik lelakinya. Pian sebagai abang hanya memakan sekeping dan ditinggalkan dua keping lagi untuk adiknya. Manakala air Milonya dihabiskan kerana adiknya tidak suka minum air Milo di waktu pagi. Kemudian Pian dan adiknya pergi ke kereta dan seperti biasa ayah yang akan menghantar mereka ke sekolah. Semasa kereta mahu melepasi pagar rumah ayah membrekkan tayar dengan tiba-tiba kerana seekor kucing hitam melintas di hadapan. Selepas kucing itu lepas, ayah terus menekan pedal minyak dan membawa mereka ke sekolah.

Sampai di sekolah, Pian harus mencari barisan kelas baharunya. Sebelum itu dia harus menghantar adiknya ke barisan kelas dia pula. Selamat adiknya di barisan kelas, dia pula ke barisan kelasnya di belakang dewan jauh sikit dari kelas adiknya. Ramai kawan tahun lamanya yang sama kelas lagi dan tak kurang juga kawan baru yang pertama kali sama kelas dengan Pian. Bila jarum jam menyentuh 7.30 pagi loceng dibunyikan dan mereka bangun dan beratur untuk menyanyikan tiga lagu iaitu lagu Negaraku, Wawasan 2020 dan lagu sekolah.

Di depan Pian merupakan seorang murid baru yang masuk ke sekolah ini tahun lepas. Ini pertama kali Pian sama kelas dengan dia. Tidak pernah sepatah pun mereka pernah berbual. Pian rancang mahu bertegur sapa semasa di dalam kelas nanti. Intro lagu Negaraku mula kedengaran, Pian seorang rakyat yang bersemangat dan lagu Negaraku harus dinyanyikan dengan penuh semangat kenegaraan. Verse pertama berjaya dinyanyikan dengan cukup baik oleh Pian. Tetapi, tiba-tiba perutnya rasa tidak menentu. Pian mula berasa mual seperti perempuan mengandung anak pertama. Namun Pian tetap menyanyikan lagu Negaraku. Semasa sampai di barisan lirik "Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan..." tiba-tiba satu semburan Milo tersembur keluar dari mulut Pian. Targetnya tepat ke arah kawan baru yang tidak pernah berbual sebelum ini. Menjelang lirik "Raja kita selamat bertakhta..." habis basah baju kawannya itu dengan air Milo.

Pian yang masih mual-mualan terkejut yang dia mampu melepaskan air Milo itu tepat ke arah kawannya itu. Sebelah badannya lumpuh dengan air milo. Baunya seumpama air Milo yang telah basi seminggu. Seluruh murid di belakang dewan menumpukan pandangan ke arah Pian dan kawan barunya itu. Sementara kawannya masih terpinga-pinga dengan peristiwa itu. Dia mula menangis kerana rasa dirinya telah dicemari dan dicabul hak asasinya. Pian tidak tahu dimana mahu menyorok mukanya yang sedang malu tak hingat. Ramai yang menyuruh mereka berdua pergi ke bilik air untuk mencuci kotoran. Memikirkan keputusan majoriti itu Pian telah membawa dirinya ke bilik air untuk membersihkan diri bersama dengan kawannya itu.

Sepanjang tempoh persekolahan hari itu, Pian terpaksa menahan malu sementara kawan barunya itu terpaksa memakai baju sukan wakaf dari sekolah dan seluar pendek cabuk.

1 ulasan:

ekabukanmakcikkau. berkata...

aku lah tu air milo ark? kalau air longkang gone? memang terpaksa mandi ujub lah member pian tu hahhaa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...