5.10.11

Maderen

Oleh / By: Aan


Pelan-pelan mata Maderen dibuka. Sedikit demi sedikit ruangan bilik mewah sebuah hotel terkemuka ini dapat memasuki mata Maderen yang masih lagi kuyu layu. Maderen membuka selimut putih yang mempunyai kesan lendir bendalir. Kaki dilayarkan ke lantai sebelum mengangkat badannya yang lemah dan dibawanya ke balkoni hotel mewah tersebut. Di balkoni yang mempunyai ketinggian aras 15 tingkat itu dapat dilihatnya kotaraya yang penuh kepesatan. Sekali sekala bunyi bingit kenderaan merosakkan kebeningan suasana pagi. Di langit yang masih remaja terdapat tiga ekor burung sedang terbang bebas tidak jauh diantara satu sama lain.

"Bebasnya burung itu," bisik hati Maderen.

Fikiran Maderen melayang seketika teringat kisah cintanya dulu bersama jejaka kacak pujaan ramai. Begitulah tingginya pasangan ini berterbangan bebas tanpa ada sangkar agama ataupun kongkongan sesiapa. Semuanya atas kuasa CINTA.

Tiba-tiba pintu yang selama ini diam, bergegar dengan ketukan bertalu-talu dalam volume yang tinggi. Maderen yang sebelum ini tenang, berubah menjadi cemas. Namun kakinya tetap diseretkan menuju ke pintu. Lalu dibukalah pintu itu dan terpancul jejaka kacak pujaan ramai itu depan muka pintu. "Kau pergi siap! Ada pelanggan mahu kau hari ini! Aku bagi masa 15 minit!" teriak lelaki itu.

"Kerana atas nama CINTA jugalah aku terperangkap dalam sangkar maksiat ini!" jerit Maderen dalam hati.

1 ulasan:

Amalina berkata...

alahai..maderen..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...